Biarpun pada pengenalan blog ini saya ada menyatakan bidang kejuruteraan awam adalah pilihan hati saya semenjak di bangku sekolah, namun ketika membuat pilihan kursus bagi melanjutkan pelajaran ke ipta 3 tahun yang lalu saya telah menjadikannya sebagai pilihan yang kedua.
Hanya kerana terlalu meminati hobi melukis, saya telah memilih kursus reka bentuk (architecture) sebagai pilihan yang pertama. Biarpun saya telah menghadiri temuduga di UTM KL, namun nasib tidak menyebelahi saya apabila akhirnya bidang kejuruteraan awam yang ditawarkan kepada saya.
3tahun yang lalu, sejurus 6 bulan menamatkan sekolah (SBP Integrasi Selandar) dengan keputusan SPM yang agak kurang mamuaskan (5A 6B sains teknikal) saya pun memulakan pengajian di UiTM Arau, Perlis bagi jurusan Diploma Kejuruteraan Awam ( Khidmat Bangunan dan Penyelenggaraan). Semester demi semester, saya mula meminati lebih mendalam jurusan ini. Segala asas yang saya pelajari semasa di bangku sekolah lebih-lebih lagi matapelajaran fizik, teknologi kejuruteraan, matematik moden, matematik tambahan dan lukisan kejuruteraan dapat saya praktikkan dalam pengajian di IPTA.
Langit tidak selalunya cerah, begitu juga kehidupan kita yang ibaratnya roda di mana adakalanya kita di bawah dan adakalanya kita di atas. Kegagalan saya di bangku sekolah tidak mematahkan semangat saya untuk mendapat keputusan cemerlang di IPTA. Akhirnya saya berjaya mendapat CGPA yang cemerlang untuk dua semester pada tahun pertama. Namun, atas kelalaian diri saya sendiri, pada semester yang ketiga saya gagal mengekalkan keputusan cemerlang seperti semester sebelumnya.
Orang pernah berkata, jangan mendekati percintaan di zaman pengajian, namun saya terlalu degil sehinggakan pelajaran saya terjejas. Penyesalan sudah tiada gunanya. Saya sungguh kecewa kerana teman yang saya anggap mampu memberi kebahagiaan pada saya tidak ada bersama saya disaat kegagalan yang begitu meragut semangat untuk meneruskan pengajian. Entah mengapa baru saya menyedari dia tidak dapat memberikan kejayaan pada saya. Bagai jatuh lagi ditimpa tangga, bila dia turut meninggalkan saya hanya kerana keputusannya juga jauh lebih teruk. Baginya kami tidak setaraf namun bagi saya itu hanyalah alasan untuk berpisah bagi kami memperbetulkan keadaan dan diri masing-masing.
Memang sukar untuk melupakan kegagalan pada masa itu dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk memohon program penerapan yang dianjurkan pihak UiTM. Biarpun berat untuk memohon, namun saya merasakan ianya sebagai peluang untuk memperbetulkan kesilapan lalu. Akhirnya, permohonan saya berjaya dan saya dipindahkan ke UiTM di Pulau Pinang bersama beberapa orang lagi sahabat. Mungkin dengan perpindahan ini, saya mampu melupakan segala kesedihan dan kedukaan saya di Perlis.
Di UiTM Pulau Pinang, saya dan sahabat lain ditawarkan Ijazah Sarjana Muda ( kepujian ) Kejuruteraan Awam tanpa sebarang pengkhususan.
Takdir menyebelahi saya untuk semester pertama dan kedua di mana keputusan yang cemerlang dapat saya capai.
Pada semester kedua, saya dan kawan-kawan dipindahkan ke UiTM Shah Alam dan itulah perpindahan kami yang terakhir.
Seorang manusia biasa, saya juga tidak terlepas dari kegagalan untuk kali kedua, di mana keputusan saya untuk semester ketiga jauh lebih teruk dari semester yang lalu.
p/s: janganlah sahabat mendekati kegagalan, kerana kegagalan begitu menyakitkan.
Ini semester saya yang keempat, diharap saya mampu menjalaninya dengan lebih tabah dan bersedia.
No comments:
Post a Comment